"Cita-cita hidup bukanlah jalan yang selalu mendatar dan ditaburi bunga, melainkan adakalanya disirami dengan air mata dan juga darah "- HAMKA

Friday, April 23, 2010

JENAYAH CURI : PERBANDINGAN ANTARA UNDANG-UNDANG ISLAM DAN UNDANG-UNDANG SIVIL DARI SEGI CIRI DAN CARA PEMBUKTIAN

1. PENGERTIAN

Dari segi bahasa, curi atau sariqah dalam bahasa Arab bermaksud mengambil sesuatu secara sulit. Manakala menurut syara’, curi adalah mengambil harta orang lain secara sulit tanpa sebarang hak dari tempat simpanannya dengan syarat-syarat tertentu (Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Buqha dan Dr. Ali al-Syarbaji. Al-Fiqh Al-Manhaji Mazhab Al-Syafie).

Frasa ‘secara sulit’ disini menunjukkan kelakuan merampas tidak termasuk di dalam istilah ini. Ini kerana merampas dilakukan secara terang-terangan bukan secara sulit atau secara sembunyi. Oleh yang demikian, merampas tidak termasuk dalam istilah ini dan perampas tidak akan dikenakan hukuman had mencuri.


2. HUKUM MENCURI

Hukum mencuri adalah haram dan para pelakunya adalah berdosa besar. Apabila kesalahan mencuri yang dilakukan oleh pelaku telah disabitkan di mahkamah dengan memenuhi segala syarat-syarat yang telah ditetapkan, maka hukuman hudud wajaiblah dilaksanakan ke atas pesalah berkenaan. Hukuman hudud bagi kesalahan ini adalah dengan memotong tangan kanan di pergelangan tangannya. Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t dalam kitab suci Al-Quran:


Maksudnya: “Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
( Al-Maidah : 38)


3. CIRI-CIRI JENAYAH CURI


3.1. Ciri-ciri Jenayah Curi Di Dalam Undang-undang Islam

Tidak semua pelaku kesalahan mencuri dikenakan hukuman potong tangan. Sebaliknya, sebelum hukuman ini dijatuhkan terhadap pesalah, ianya mestilah memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Syarat-syarat tersebut meleputi dua komponen penting, iaitu:

3.1.1. Syarat Bagi Pencuri

Untuk menjatuhkan hukuman hudud keatas kesalahan mencuri, pencuri tersebut hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

a) Pencuri tersebut mestilah telah mencapai umur baliqh. Kanak-kanak yang masih belum baliqh tidak boleh dikenakan hukuman potong tangan, kerana mereka masih belum tertakluk kepada tuntutan syarak. Ini berdasarkan kepada hadith nabi:

رفع القلم عن ثلاثة عن النائم حتى يستيقظ، وعن الصبي حتى يبلغ، وعن المجنون حتى يعقل

Maksudnya: “Pena diangkat dari tiga orang (malaikat tidak mencatat apa-apa dari tiga orang), iaitu: orang tidur hingga ia bangun, anak kecil hingga ia baliqh, dan orang gila hingga ia berakal normal atau sembuh”.
Riwayat Imam Ahmad


b) Pencuri tersebut mestilah berakal ketika kesalahan tersebut dilakukan. Orang gila tidak boleh dikenakan hudud, ini kerana mereka tidak tertakluk kepada tuntutan syarak berdasarkan hadith di atas. Manakala bagi orang mabuk yang mencuri, hukuman hudud akan dilaksanakan jika dia mabuk kerana sengaja meminum sesuatu yang memabukkan. Jika tidak, tiada hukuman yang akan dilaksanakan kepada beliau.


c) Pencuri tersebut hendaklah melakukan jenayah curi dengan kerelaan hatinya sendiri. Maka tidak dikenakan had bagi pencuri yang dipaksa. Orang yang dipaksa mencuri dengan cara kekerasan , misalnya orang yang diancam dan diugut akan dibunuh jika ia tidak mahu mencuri. Maka dalam kes ini pencuri itu tidak boleh dikenakan hukuman hudud. Ini berdasarkan hadith nabi s.a.w.:


إن الله تجاوزلي عن أمتي الخطأ و النسيان وما استكرهوا عليه

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menghapuskan dosa umatku yang tersalah dan terlupa , dan dosa mereka yang dipaksa melakukan sesuatu kesalahan”

(Riwayat Ibnu Majah)


d) Pencuri itu hendaklah mengetahui berkenaan pengharaman mencuri. Maka jika dia tidak mengetahui hukum haram mencuri maka tidak wajib di had keatasnya. Pencuri itu juga hendaklah terikat dengan hukum-hukum Islam. Maka tidak wajib had sekiranya kafir harbi melakukan jenayah tersebut.• Pencuri itu hendaklah bukan asal nya iaitu bapa atau datuk. Maka tidak wajib di had sekiranya bapa mencuri harta anaknya ataupun datuk mencuri harta cucunya.• (Haji Abdul Razak Bin Haji Ahmad. 1997:518)


3.1.2. Syarat Bagi Harta yang Dicuri
Harta yang dicuri juga hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut. Iaitu:

a) Harta yang dicuri mestilah mencecah kadar yang ditetapkan, iaitu bersamaan dengan:
• Satu perempat dinar ataupun lebih. Satu dinar bersamaan dengan satu mithqal (20 karat/4.24 gm emas).
• Atau bersamaan dengan tiga dirham. Ini kerana tukaran satu dinar pada zaman nabi s.a.w. ialah duabelas dirham. Oleh itu, suku dinar bersamaan dengan tiga dirham.


Ini adalah berdasarkan hadith rasulullah s.a.w.:


لا تقطع يد السارق إلا في ربع دينار فصاعدا

Maksudnya: “tidak akan dipotong tangan seorang pencuri melainkan (harta yang dicuri) mencecah satu diinar ka atas”
(Riwayat al-Bukhari : 6407)


Daripada Ibn Umar RA katanya:

أن رسول الله صلّى الله عليه وسلّم قطع في مجن ثمنه ثلاثة دراهم

Bermaksudnya: “Nabi s.a.w. memotong tangan kerana sebuah perisai yang berharga tiga dirham”.
(Riwayat al-Bukhari : 6411 )


b) Harta dicuri dari tempat simpanan yang sesuai. Tempat simpanan yang sesuai bermaksud pada kebiasaannya harta tersebut disimpan di tempat tersebut atau seumpama dengannya. Wang kebiasaannya di simpan di dalam peti atau yang seumpamanya. Pakaian kebiasaannya disimpan di dalam almari atau sebagainya. Ukuran ini merujuk kepada kebiasaan setempat (uruf) dan pendapat orang yang berkemahiran.

Sekiranya harta dicuri dari tempat yang biasanya tidak digunakan untuk menyimpan harta tersebut, hukuman potong tangan tidak boleh dijalankan ke atas pencuri berkenaan. Ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-As RA dan selainnya secara marfu’ : “Tiada hukuman potong bagi kesalahan mencuri haiwan ternakan melainkan jika ia disimpan di dalam kandangnya. Sesiapa yang mencuri selepas disimpan di tempat pengeringan dan ia (tamar yang dicuri mencecah nilai sebuah perisai, dia akan dihukum potong tangan).


c) Harta bukan milik atau milik bersama pencuri. Sekiranya pencuri adalah rakan kongsi, hukuman potong tangan tidak akan dilaksanakan kerana harta tersebut adalah miliknya bersama. Di dalam kes anak mencuri harta bapa, atau hamba mencuri harta tuannya, atau rakyat yang miskin mencuri harta kerajaan atau ketika kebuluran, pencuri tidak akan dikenakan hukuman potong tangan. Ini kerana wujud keraguan, terdapat sedikit sebanyak unsur harta bersama dalam harta yang dicuri.

ini berdasarkan hadith Aisyah R.Anha:
ادرءوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم فإن كان له مخرج فخلّوا سبيله فإنّ الإمام أن يخطئ غي العفو خير من أن يخطئ في العقوبة

Terjemahannya: “Hindarilah hukuman hudud daripada orang Islam seboleh mungkin. Sekiranya ada jalan melepaskannya, lepaskanlah dia. Seorang pemerintah yang tersilap mengampunkan adalah lebih baik daripada tersilap menghukum”.
(Riwayat Tarmizi : 1424)


d) Harta yang dicuri mestilah suci. Sekiranya harta yang dicuri berupa arak, khinzir, anjing atau kulit yang belum disamak, tiada hukuman potong tangan akan dikenakan. Selain itu, harta tersebut juga mesilah harus digunakan pada syara’. Sekiranya harta tersebut berupa seruling, berhala, salib atau yang serupa dengannya, maka pencuri tidak akan dikenakan hukuman hudud.


3.2. Ciri-ciri Jenayah Curi Di Dalam Undang-undang Sivil


Jenayah mencuri menurut undang-undang sivil terdapat lima ciri utama iaitu :

a) Niat curang (dishonest intention) untuk mengambil harta. Di dalam Kanun Keseksaan, niat curang adalah satu unsur mesti di dalam kesalahan mencuri, iaitu niat hendak mengambil dengan curang. Maksud dengan curang adalah seperti yang diterangkan dalam seksyen 24 Kanun Keseksaan iaitu:

“Barang siapa yang melakukan sesuatu perkara dengan niat hendak menyebabkan kedapatan salah kepada sesorang, atau kehilangan salah kepada seseorang lain, adalah dikatakan melakukan perkara itu dengan curang”.

Unsur niat curang ini mestilah wujud ketika harta itu mula digerakkan oleh penjenayah (Hashim Mehat, 1977: 227).


b) Harta itu mestilah boleh digerakkan. Unsur kedua ini dihuraikan di dalam seksyen 22 Kanun Keseksaan seperti:

“Perkataan harta yang boleh dialih dalah dimaksudkan termasuk harta zahir dari segala rupa, kecuali tanah dan benda-benda yang bercampur kepada bumi atau yang dipasang dengan kekalnya kepada apa-apa benda yang bercantum kepada bumi” (Hashim Mehat, 1977: 236).


c) Harta itu diambil keluar daripada milik (take out of the possession) orang lain. Kanun Keseksaan memerlukan harta yang dicuri itu, hendaklah dikeluarkan daripada milik orang yang memilikinya. Istilah ‘milik’ tidak diterangkan secara khas di dalam Kanun Kesiksaan, tetapi seksyen 27 Kanun Keseksaan dapat digunakan sebagai panduan iatu:

“Apabila harta ada dalam milik isteri, kerani atau orang gaji seseorang, bagi pihak orang itu, maka harta itu adalah dalam milik orang itu dalam erti Kanun ini” (Hashim Mehat, 1977: 251).


d) Harta itu diambil tanpa kerelaan orang itu (orang yang memilikinya). Barang yang dicuri itu hendaklah diambil tanpa kerelaan orang yang memiliki barang itu (Hashim Mehat, 1977: 261).


e) Menggerakkan harta itu dengan tujuan hendak mengambilnya. Mesti wujud satu bentuk pergerakkan (some removal) terhadap harta itu untuk dikatakan ‘mengambilnya’. Maksud ‘menggerakkan’ tidak semestinya menggerakkan harta itu keluar jauh dari pencapaian pemiliknya tetapi sudah memadai dengan tujuan hendak mengambilnya. Ia sudah boleh disabitkan kesalahan mencuri di dalam undang-undang jenayah moden (Hashim Mehat, 1977: 267).


Kesimpulannya, setiap ciri kesalahan mencuri yang disebutkan mestilah dibuktikan oleh pendakwa sehingga tidak ada keraguan yang munasabah, sebelum seseorang itu disabitkan bersalah di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan;

“Barangsiapa melakukan kesalahan mencuri dalam mana-mana bangunan, khemah atau perahu yang digunakan sebagai tempat kediaman manusia, atau untuk simpanan harta benda, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan bolehlah juga dikenakan denda, dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang kemudian hendaklah diseksa dengan penjara dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat” (Hashim Mehat, 1977: 223).


4. CARA PEMBUKTIAN JENAYAH CURI


4.1. Pembuktian Jenayah Curi Menurut Undang-undang Islam

Mengikut undang-undang Islam, jenayah curi hanya boleh disabitkan melalui tiga kaedah sahaja, iaitu:

a) Pengakuan. Pesalah yang mengaku mencuri akan disabitkan dengan kesalahan tersebut. Dia juga akan dikenakan hukuman had mencuri. Walaubagaimanapun, jika dia menarik pengakuannya sebelum hukuman dilaksanakan, dia tidak akan dijatuhkan hukuman. Hakim juga perlu mengemukakan tawaran rayuan sebelum hukuman dijatuhkan kepada pesalah seperti yang perlu dilakukan dalam kes zina. Walaubagaimanapun, pengakuan pencuri hanya akan diterima setelah pemilik barang yang telah dicuri datang menuntut haknya.


b) Bukti iaitu keterangan dua orang saksi lelaki yang adil dan memenuhi syarat-syarat menjadi saksi. Namun jika saksi yang ada terdiri daripada seorang lelaki dan dua orang perempuan, ia hanya boleh mengesahkan hak milik harta tersebut, tetapi tidak boleh mensabitkan hukuman potong tangan.


c) Sumpah oleh pihak yang mendakwa iaitu selepas orang yang didakwa enggan bersumpah.


4.2. Pembuktian Jenayah Curi Menurut Undang-undang Sivil

Di dalam perbicaraan kes curi, kita akan lihat pengadu akan beri keterangan, selepas dari itu baru polis beri keterangan iaitu pegawai penyiasat, kemudian kalau ada jurugambar, dia juga turut kena bagi keterangan dalam mahkamah. Bila habis semua saksi yang dibawa oleh polis beri keterangan, barulah tutup kes di peringkat pendakwaan. Dan kalau mahkamah kata pihak polis gagal meyakinkan kes tersebut clear ataupun beyond reasonable doubt, maka mahkamah akan memutuskan bahwa yang tertuduh akan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri.

Tapi kalau pihak yang mendakwa boleh bagi cukup bukti, maka barulah berlaku submission iaitu kedua-dua pihak berhujjah. Inilah prinsip yang ada dalam mahkamah sivil, dan ia serupa sepertimana yang diamalkan dalam mahkamah syar`iyah atau undang-undang Islam, samada dalam negara kita ataupun daripada Nabi saw.

Jadi kalau kita tengok balik dalam ajaran Islam sekalipun, dimana Nabi saw berkata, "Penuduh hendaklah memberi bukti apabila dia mendakwa sesuatu fakta telah dilakukan oleh seseorang."...Maka begitulah juga dalam mahkamah sekular yang diamalkan dalam negara pada hari ini, yang mana dalam akta keterangan yang dihuraikan pula oleh S.Augustine Paul; dia juga mengatakan bahwa beban pembuktian itu adalah terletak di atas pihak yang mendakwa sesuatu fakta.

Dibawah undang-undang jenayah seseorang yang tertuduh perlu dibukti kesalahannya ‘beyond reasonable doubt’ iaitu melepasi keraguan yang munasabah . Dibawah undang-undang sivil , pembuktiannya ialah ‘balance of probabilities’ dimana ukurannya lebih rendah daripada ukuran yang dibuat dalam kes –kes jenayah. Manakala kaedah yang dijalankan sekarang adalah mengikut undang-undang sivil.


(UNTUK PENGETAHUAN SAHAJA)hehehe

2 comments:

iyah said...

got a knowledge~ tq

Anonymous said...

Kalau mencuri dari keluarga sendiri dan memberi barang yang dicuri kepada orang lain? Tetapi sedar atas kesilapan dibuat dan janji tidak akan megulanginya. apakah hukumannya di dunia dan akhirat?