"Cita-cita hidup bukanlah jalan yang selalu mendatar dan ditaburi bunga, melainkan adakalanya disirami dengan air mata dan juga darah "- HAMKA

Friday, April 23, 2010

HAK PENJAGAAN ANAK (HADANAH): DARI SEGI SIAPA YANG LEBIH BERHAK MENURUT SYARA’

1. PENGERTIAN

Dari sudut bahasa, hadanah bererti menjaga dan mengasuh anak kecil dengan menanggung nafkah dan mendidiknya. Perkataan hadanah diambil daripada perkataan al-hidn yang bererti rusuk atau dada. Ia dikaitkan dengan pengasuhan kerana pada kebiasaannya pengasuh meletakkan kanak-kanak yang diasuh di atas rusuknya atau pangkuannya (Al-Sayyid Sabiq. 1994).


Dari sudut syara’, erti hadanah diberikan dengan berbagai definisi. Dalam mazhab al-Shafie ia disebut sebagai menjaga orang yang tidak boleh bersendirian menguruskan dirinya daripada perkara yang menyakitkannya kerana ia tidak mumayyiz lagi seperti kanak-kanak dan orang besar yang gila. Juga dengan mendidiknya (mendidik orang yang dijaga) dengan perkara yang memberin maslahah kepadanya sama ada berkaitan pemeliharaan makanan, minuman dan sebagainya” (Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Buqha & Dr. Ali Al-Syarbaji. 2000).


Mazhab Hanafi pula mentakrifkan hadanah sebagai mendidik kanak-kanak yang tidak dapat menguruskan diri sendiri menurut umur tertentu oleh orang yang berhak terhadapnya, iaitu dikalangan keluarganya (Ahmad Mahmud Al-Shafi’i. 1991).


Ada juga pendapat yang mengatakan hadanah itu adalah mengawal kanak-kanak kecil, orang lemah, orang gila atau orang yang kurang waras daripada apa-apa bahaya yang boleh merosakkannya, menurut kemampuan dengan cara mendidik dan menjaganya, seperti membersih tubuh badannya, memberi makanan dan apa-apa jua yang boleh mendatangkan kerehatan kepadanya.



2. HUKUM HADANAH

Hukum hadanah ke atas kanak-kanak adalah wajib, kerana mengabaikannya bererti membiarkannya kepada bahaya dan kebinasaan. Kewajipan hadanah ini lebih tertumpu kepada ibu, kerana ibu mempunyai cirri-ciri dan sifat yang lebih sesuai untuk tujuan pengasuhan jika dibandingkan dengan bapa, sekalipun bapa telah berkahwin lain. Lagipun seorang ibu tiri tidak akan dapat mengasuh seorang kanak-kanak dengan sebaik mungkin yang boleh dilakukan oleh ibu kandung. Berdasarkan kedudukan ini, Islam telah menetapkan hak hadanah kepada seorang ibu. Nabi Muhammad s.a.w pernah menetapkan hak hadanah kepada seorang ibu selama mana dia belum berkahwin lain. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum berkahwin.”
(Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)


Hak dan tanggungjawab ibu akan berterusan sehingga kanak-kanak tersebut mencapai umur mumayyiz, iaitu 7 tahun. Setelah itu, kanak-kanak tersebut boleh membuat pilihan samada ingin terus hidup bersama ibunya atau ingin hidup bersama bapanya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Wahai anak! Ini bapamu dan ini ibumu, peganglah tangan siapa yang kamu suka antara mereka berdua. Lalu anak itu memegang tangan ibunya, lantas ibunya membawa ia pergi.”
(Riwayat Imam Ahmad)




3. HAK HADANAH MENURUT SYARA’


Pada dasarnya, Islam telah menetapkan hak hadanah kepada seorang ibu kecuali jika terdapat sebab-sebab yang boleh menggugurkan hak dan tanggungjawab tersebut. Ini sebagaimana yang disebut di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa seorang wanita pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesunngguhnya anak yang berada dalam dukungan ini sayalah yang menyusukannya, tetapi sekarang bapanya telah menceraikan saya dan dia mahu mengambil anak ini daripada saya,” lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “ Kamu lebih berhak ke atas ini selagi kamu belum berkahwin.”
(Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)


Oleh yang demikian, hanya dengan perkahwinan seorang ibu dengan lelaki lain yang dapat menggugurkan hak dan tanggungjawab hadanah terhadap seorang ibu. Ini sebagaimana yang telah disepakati oleh majoriti ulama’ fikah yang mensyaratkan hak dan penjagaan anak akan gugur dari seorang ibu sekiranya ibunya berkahwin dengan lelaki lain.


Ada juga pendapat dari segelintir ulama’ fikah seperti Imam al-Hasan al-Shaybani dan ibn al-Hazm al-Andalusi yang mengatakan bahawa, walaupun seorang ibu telah berkahwin dengan lelaki lain, hak dan tanggungjawab ini tidak akan gugur. Pendapat ini dibuktikan dengan sebuah hadis Nabi s.a.w yang meriwayatkan bahawa Anas bin Malik tetap kekal dalam penjagaan ibunya, walaupun ibu kandungnya telah berkahwin dengan lelaki lain. Semasa Ummu Salamah dikahwini oleh Rasulullah s.a.w, beliau turut diberi hak untuk memelihara anaknya hasil daripada perkahwinannya dengan suami yang pertama.


Demikian juga dalam kes penjagaan anak perempuan Saiyidina Hamzah yang menjadi rebutan antara Saiyidina Ali, Ja’far bin Abi Talib dan Zayd bin Harithah, kerana masing-masing mempunyai hubungan persaudaraan dengan anak perempuan Saiyidina Hamzah. Menurut Ali, anak perempuan tersebut adalah anak perempuan bapa saudaranya (Saiyidina Hamzah ialah bapa saudaranya), sedangkan Zayd bin Harithah berkata bahawa anak perempuan Saiyidina Hamzah adalah anak saudaranya kerana Nabi Muhammad s.a.w telah mempersaudarakan Saiyidina Hamzah dengan Zayd bin Harithah. J’afar bin Abi Talib pula mengakui bahawa anak tersebut adalah anak perempuan kepada saudara iparnya kerana isteri Ja’far adalah emak saudara kepada anak tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w membuat keputusan, anak itu dijaga oleh isteri Ja’far kerana dia adalah emak saudara (khalah) kepada anak perempuan Saiyidina Hamzah, walaupun perempuan itu telah berkahwin dengan Ja’far bin Abi Talib.


Masalah yang biasa diketengahkan dalam bab ini adalah untuk menentukan pihak yang paling berhak memelihara kanak-kanak selepas penceraian ibubapa ataupun kematian ibubapa. Berikut dikemukakan pendapat-pendapat para ulama’ mazhab fikah:


a) Mazhab Hanafi

Mazhab Hanafi berpendapat bahawa hak dan tanggungjawab memelihara anak hasil daripada pencerraian adalah hak bersama saudara-saudara perempuan kepada ibu-ibu kanak tersebut iaitu dengan didahulukan oleh ibu dan ibu kepada ibunya (neneknya). Jika tidak ada nenek sebelah ibunya, maka hak itu berpindah kepada nenek sebelah bapa (ibu kepada bapa kanak-kanak tersebut), kemudian saudara perempuan ibu kanak-kanak seibu sebapa, diikuti saudara perempuan seibu, saudara perempuan sebapa, anak perempuan daripada saudara perempuan seibu sebapa, anak perempuan daripada saudara perempuan seibu dan seterusnya. Jika tiada juga waris atau pihak yang dinyatakan, maka mestilah dicari wanita-wanita yang ada hubungan adik-beradik kepada ibu atau bapa kanak-kanak itu.


b) Mazhab Maliki

Mazhab Maliki pula berpendapat bahawa hak dan tanggungjawab hadanah adalah hak ibu, kemudian ibu kepada ibu (nenek) hungga ke atas, saudara perempuan ibu seibu sebapa (emak saudara), saudara perempuan ibu yang seibu, saudara perempuan ibu kepada ibu kanak-kanak (al-khalah li al-umm, atau saudara perempuan nenek sebelah ibu kanak-kanak), saudara perempuan ayah kepada ibu kanak-kanak (al-ammah al-umm, atau saudara perempuan datuk daripada sebelah ibu kanak-kanak), saudara perempuan bapa kepada bapa kanak-kanak (al-ammah al abb atau saudara perempuan dattuk daripada sebelah bapa kanak-kanak) hingga ke atas.


c) Mazhab Syafi’i

Mazhab Syafi’i berpendapat bahawa penjagaan kanak-kanak itu ialah hak ibu, ibu kepada ibu (nenek sebelah ibu) hingga ke atas dengan syarat dia mestilah pewaris, kemudian bapa kepada kanak-kanak tersebut, ibu kepada bapa kanak-kanak, ibu kepada ibu kepada bapa kanak-kanak hingga ke atas dengan syarat mereka adalah pewaris, barulah disusuli orang yang paling dekat daripada kerabat-kerabat ibu, seterusnya orang yang paling dekat daripada kerabat-kerabat bapa kanak-kanak itu.


Ringkasnya dapat dikatakan dalam mazhab Syafi’i bahawa orang yang utama sekali berhak mengasuh kanak-kanak adalah ibunya, kerana belas kasihan serta kasih saying dapat diberikan dengan sepenuh hati dan seikhlas murni. Mengikut mazhab Syafi’i, jika ibu telah hilang kelayakan untuk mengasuh atau meninggal dunia, hak tersebut akan berpindah kepada.

i. Nenek sebelah ibu hinnga ke atas.
ii. Bapa.
iii. Nenek sebelah bapa hingga ke atas.
iv. Kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
v. Kakak atau adik perempuan seibu.
vi. Kakak atau adik perempuan sebapa.
vii. Anak perempuan kepada kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
viii. Anak perempuan kepada kakak atau adik perempuan seibu.
ix. Anak perempuan kepada kakak atau adik perempuan sebapa.
x. Emak saudara sebelah ibu.
xi. Emak saudara sebelah bapa.
xii. Waris lelaki yang boleh menjadi waris kanak-kanak sebagai asabah.



d) Mazhab Hanbali

Mazhab Hanbali berpendapat bahawa orang yang lebih berhak untuk memelihara anak hasil daripad penceraian ialah ibunya, ibu kepada ibu (nenek sebelah ibu), kemudian iibu-ibu kepada nenek sebelah ibu hingga ke atas, disusuli bapa kepada kanak-kanak, ibu kepada bapa (nenek sebelah bapa), ibu-ibu kepada nenek sebelah bapa hingga ke atas, kemudian datuk, saudara perempuan ibu yang seibu sebapa, saudara perempuan ibu yang seibu, saudara perempuan ibu yang sebapa, kemudian saudara perempuan bapa yang seibu sebapa, saudara perempuan bapa yang seibu saudara perempuan bapa yang sebapa dan seterusnya.




4. SYARAT PENJAGA (HADINAH)

Terdapat pelbagai pendapat mengikut mazhab dalam meletakkan syarat kepada seorang penjaga (hadinah). Menurut mazhab Syafi’i, seseorang pengasuh itu msetilah memenuhi syarat-syarat berikut:

i. Islam. Seorang ibu yang kafir atau murtad tidak boleh dan tidak berhak mengasuh kanak-kanak kecil.
ii. Berakal. Orang gila tidak boleh menjadi pengasuh kecuali gilanya itu terlalu sedikit, seperti sehari dalam masa setahun.
iii. Beramanah. Orang perempuan yang mempunyai sifat khianat tidak berhak menjadi penjaga atau pengasuh, kerana dia tidak akan menjaga kanak-kanak itu dengan sebaik mungkin.
iv. Baliqh. Kanak-kanak kecil perlu kepada orang yang lebih dewasa, lebih-lebih lagi untuk urusan muamalat.
v. Perempuan yang baik serta bermoral tinggi. Perempuan fasik, seperti penzina, peminum arak, pencuri dan sebagainya tidak berhak menjadi pengasuh.
vi. Merdeka. Hamba tidak berhak menjadi pengasuh kepada kanak-kanak.
vii. Tinggal bersama kanak-kanak yang diasuh.
viii. Jika pengasuh itu ibunya sendiri, disyaratkan dia belum lagi berkahwin dengan lelaki lain. Jika dia berkahwin dengan seseorang daripada mahram kanak-kanak tersebut, hak pengasuhan itu tidak gugur jika bekas suaminya rela.
ix. Mempunyai tempat tinggal. Kanak-kanak tidak boleh diserahkan kepada ibu atau pengasuh lain jika mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap, sama ada milik sendiri atau rumah sewa.
x. Jika pengasuh kanak-kanak merupakan seorang wanita asing, disyaratkan suaminya mestilah mempunyai pertalian saudara dengan kanak-kanak berkenaan.


Mazhab Hanbali mengatakan antara syarat-syarat penjaga adalah seperti berikut:

i. Islam.
ii. Berakal iaitu tidak gila dan tidak ma’tuh.
iii. Tidak fasik.
iv. Penjaga bukan seorang hamba.
v. Tidak buta atau kurang penglihatan.
vi. Tidak mengalami sakit sopak atau kusta. Hak penjagaan akan gugur sekiranya penjaga mempunyai sakit sopak atau kusta.
vii. Penjaga tidak berkahwin dengan lelaki lain yang tiada mempunyai hubungan kekeluargaan dengan anak itu. Jika penjaga itu berkahwin dengan saudara terdekat kepada anak tersebut, maka ibu kepada anak itu berhak memeliharanya.


Tegasnya, sekiranya pengasuh berkahwin dengan lelaki lain, dia tidak berhak untuk memelihara anak itu. Akan tetapi sekiranya dia berkahwin dengan saudara terdekat anaknitu, maka dia berhak menjaganya.


Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa syarat-syarat penjaga samaada dia seorang
lelaki atau seorang perempuan adalah seperti berikut:

i. Berakal. Penjaga yang gila tidak boleh menjadi penjaga walaupun dia waras untuk sebentar sahaja.
ii. Berkuasa untuk melakukan kerja. Orang yang sudah tua atau lanjut umur, orang buta, bisu, pekak dan orang yang sentiasa sakit tidak boleh menjadi penjaga.
iii. Sekiranya anak yang dipelihara itu perempuan, maka penjaganya mestilah berkuasa mengawasi dan menjaga kanak-kanak itu daripada melakukan sifat-sifat buruk khususnya perbuatan-perbuatan yang didorong oleh nafsu dan syahwat. Jika penjaga tidak sanggup untuk menghalang dan mencegah anak itu daripada melakukan sifat-sifat buruk yang disebutkan, maka lebih baik penjaga mengundurkan diri.
iv. Penjaga mestilah seorang yang amanah kepada agama, bukan peminum arak atau penzina.
v. Penjaga mestilah seorang yang sihat daripada semua penyakit yang berjangkit seperti sopak atau kusta.
vi. Penjaga mestilah seorang yang cerdik dalam pengurusan harta dan bukan seorang yang pembazir.
vii. Jika penjaga itu wanita, maka disyartiatkan dia bukanlah seorang yang sering didatangi lelaki asing, kecuali jika wanita berkahwin dengan mahram anak itu. Jika penjaga sering didatangi oleh lelaki asing, maka haknya sebagai penjaga akan gugur.


Di dalam mazhab Maliki, Islam dan samaada lelaki atau perempuan tidak menjadi syarat dalam hak hadanah. Jika pengasuh bukan seorang Islam dan ditakuti dia memberikan kanak-kanak itu makanan yang haram seperti daging babi, maka pengasuh itu hendaklah diawasi oleh orang Islam bukan pengasuh itu dilarang untuk mengasuhnya. Jika pengasuhnya adalah seorang lelaki, maka disyaratkan pengasuh itu hendaklah ada bersamanya seorang wanita yang turut sama mengasuh kanak-kanak itu seperti isterinya atau amahnya (hambanya). Akan tetapi pengasuh itu hendaklah mahram iaitu bukan lelaki yang boleh dikahwini oleh kanak-kanak tersebut.




5. UPAH HADANAH

Mengenai upah hadanah, jika pengasuh merupakan isteri yang diceraikan dan mendapat nafkah semasa idah, dia tidak berhak mendapat upah hadanah. Dua perkara tidak harus dikumpulkan dalam satu masa, iaitu upah dan nafkah.


Manakala jika bekas isteri telah tamat iddah dan tidak lagi mendapat apa-apa nafkah daripada bekas suaminya. Dia berhak mendapat upah hadanah kerana dia telah menjalankan tugas bagi pihak bapa anaknya ataupun wali anaknya.


Jika pengasuh selain ibu anak itu, dia berhak mendapat upah bagi pelbagai khidmatnya kepada kanak-kanak itu, seperti upah mengasuh, menyusu dan upah itu tidak termasuk dalam nafkah yang diberikan kepada kanak-kanak itu, kecuali dia rela mengasuh dengan percuma.


Bayaran hadanah dikira bermula dari hari mula bertugas. Bayaran ini dikira hutang jika tidak dibayar, dan ia tidak akan gugur kecuali dengan membayarnya ataupun dihalalkannya. Pihak yang bertanggungjawab membayar upah hadanah ialah pihak yang bertanggungjawab menanggung nafkah kanak-kanak itu, kerana perbelanjaan upah hadanah dikira sebagai sebahagian nafkah dan ia merupakan satu perkara yang wajib ke atas bapa atau penjaganya.




6. KESIMPULAN

Daripada penjelasan syarat-syarat yang telah lalu, maka jelaslah mejoriti ulama’ memberikan keutamaan orang yang memelihara kanak-kanak hasil penceraian kepada mereka yang mempunyai akhlak yang mulia. Ianya adalah bertujuan untuk memelihara kanak-kanak tersebut daripada sifat-sifat buruk yang boleh merosakkan akhlak kanak-kanak. Jika ditinjau dari segi hak hadanah pula, orang yang diutamakan adalah terdiri daripada saudara-saudara perempuan iaitu ibu-ibu saudara kepada kanak-kanak itu, kerana hadis nabi s.a.w menyebut bahawa status ibu saudara (al-khalah) adalah sama seperti ibu.


Walaupun ada mazhab fikah yang membolehkan orang kafir menjadi penjaga, tetapi mejoriti ulama’ mengatakan orang kafir tidak boleh menjadi penjaga kepada kanak-kanak itu, lebih-lebih lagi mazhab Syafi’i yang mensyaratkan orang fasik tidak boleh menjadi penjaga inikan lagi orang fasik.


Oleh yang demikian, penjaga beragama Islam, berakhlak mulia serta mempunyai pertalian ibu atau ibu saudara adalah orang yang paling berhak dan yang lebih diutamakan untuk memelihara kanak-kanak hasil daripada penceraian.


Meskipun syara’ telah menetapkan bahawa, ibu merupakan orang yang paling berhak terhadap hak dan tanggungjawab hadanah, hak dan tanggungjawab tersebut tidak akan diberikan kepada seorang ibu itu sehingga dia dapat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya seorang ibu itu tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka hak dan tanggungjawab hadanahi tersebut akan jatuh kepada orang yang seterusnya mengikut turutan yang telah ditetapkan.


Walaupun terdapat beberapa perbezaan dalam turutan hak dan tanggungjawab hadanah mengikut pendapat imam mazhab fikah, namun di Malaysia pendapat imam Syafi’i lebih diutamakan berbanding pendapat imam mazhab yang lain.

4 comments:

-har.ya- said...

jika si ibu telah berkahwin, si bapa boleh trus mengambil anak itu kah? ataupun dengan perintah mahkamah?..sekiranya surat cerai tidak menyatakan hak penjagaan anak, ianya akan terus di bawah hak ibu kan?

Que said...

boleh beri keterangan camner nak tuntut hak jagaan anak ni tak?? utk info sya bapa kpada seorang ank pompuan umur 3 thn lebih,dan sering mngalami masalah dan tekanan perasaan kerana hal tntng jagaan ank ni,sya tak tau nak ckp kat sapa dah :'(........ nak mtk tolong at sapa ?? harap jasa baek puan or tuan info sya pasal ni,,,,, sy nak pu3 sya tu hidup dgn normal cm kanak kanak laen,,,,,bekas isteri sgt memberatkan sya hgga tensio n mnganggu kerja dan hidup saya,,,,,,,,,,

Que said...

lao ada info sal nih mngikot undang syariah dlm malaysia tlg info at fb(mahazir ler) sya or email ,,,,,blei kan ? :'(........... kalo dapat utk amik jaga anak utk 2 or 3 hari pon cukup ler ,,,,,, i btul2 syg pu3 sya tu,,,,, takot dia presure n memberontak.....takot masa depan dia huhuhu,,,,,,,,,

Anonymous said...

assalammualaikum.... saya nak bertanya mengenai hak penjagaan anak yang telah tinggal bersama ayah kandungnya selama 2 tahun. untuk makluman, ayahnya adalah seorang muallaf.. dan kini bersedudukan dengan seorang perempuan kristian. dan menjaga tiga orang anak hasil dari perkhawinan kakak kandung saya....Apakah tindakan yang perlu saya ambil untuk merebut hak penjagaan kanak-kanak tersebut, kerana ibu kandungnya telah berkahwin, dan ibu saya iaitu nenek mereka terlalu tua dan tidak dapat menjaga mereka dengan baik. saya adalah ibu saudara mereka. terimakasih ustaz untuk keterangan diatas.